SWM Environment Rangka Strategi Aidilfitri Bagi Memastikan Kelancaran Operasi Kutipan Sampah

...

SEREMBAN, 08 May 2021 SWM Environment telah merangka strategi operasi sempena sambutan Hari Raya bagi memastikan kutipan sampah tidak terkesan ketika cuti perayaan. Exco Negeri Sembilan, YB Teo Kok Seong menyatakan ketika sidang media hari ini bahawa pihak syarikat akan menghantar 1,004 orang pekerja, 95 buah lori kompaktor dan 48 buah lori terbuka bagi melaksanakan kutipan sampah pada Hari Raya pertama Aidilfitri. Beliau memberitahu bahawa pada Hari Raya kedua Aidilfitri, 1,417 orang pekerja, 110 buah lori kompaktor dan 54 buah lori terbuka akan bertugas memberikan perkhidmatan dan perkhidmatan akan beroperasi seperti biasa pada hari ketiga. Anjakan jadual kutipan juga turut melibatkan daerah Nilai iaitu di Pajam, Semarak, Mantin, Pekan Nilai, Labu, Enstek, Kuarters KLIA, Labu, Gadong, Seremban Jaya dan Bandar Seremban Selatan yang akan dilakukan pada 14 Mei 2021. Sementara itu, bagi daerah Rembau, kawasan yang terlibat ialah Taman Sri Rembau Fasa 1, Fasa 2 dan Lot Banglo, Taman Kota Indah, Pekan Kota, Pekan Astana Raja dan Rumah Rakyat Lubok akan dilakukan pada 12 Mei 2021. Beliau juga memberitahu bahawa SWM Environment juga turut memantau kawasan tumpuan awam agar keadaan kawasan tersebut sentiasa berkeadaan bersih. Antara lokasi yang diberikan penumpuan khusus ialah lokasi-lokasi aktiviti mantai (12), pasar awam (32), pasar tani dan pasar tani mega (14), bazar Ramadan (52), bazar Raya (7), pusat membeli-belah dan pasaraya (47), tong sampah berpusat (65), rumah pangsa dan Apartment (38), kem tentera (13) dan pantai serta lokasi tumpuan pelancong (10). Beliau menyatakan bahawa pekerja juga diminta untuk menggunakan alat keselamatan diri (PPE) yang lengkap seperti sarung tangan dan penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan bagi menjaga kebersihan diri sepanjang masa agar terhindar daripada jangkitan wabak COVID-19. Beliau menggesa orang awam untuk membuat laporan kepada kerajaan Negeri atau SWCorp dan Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat perlanggaran SOP di bazar Ramadan atau Hari Raya dan jika sampah tidak dibersihkan.