TEO NIE CHING “KEMENTERIAN PENDIDIKAN SEDIAKAN NOMBOR SIRI BAGI KANAK-KANAK TIADA KEWARGANEGARAAN UNTUK DUDUKI PEPERIKSAAN

...

KULAI, 11 November 2018 Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan akan menyediakan nombor siri khas kepada kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan agar dapat menduduki peperiksaan. Jelas beliau, Kementerian Pendidikan akan membenarkan kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan mendapatkan pendidikan dengan mengemukakan sijil kelahiran dan pada yang sama pihak Kementerian akan menyediakan nombor siri khas bagi membenarkan mereka menduduki peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya. Langkah tersebut merupakan satu pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian semasa menghadiri Program SWM Kasih Deepavali anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Pusat Komuniti ADUN Senai di Lorong Ismail, Kulai petang semalam. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Johor, Dr. S. Ramakrishnan berkata keunikan rakyat berbilang kaum di Malaysia telah menghidupkan suasana yang bahagia dengan menyaksikan perayaan etnik kaum diraikan bersama seperti Deepavali, Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Tambah beliau, Kulai merupakan destinasi sambutan ketiga yang beliau hadiri selepas di Chaah dan Labis. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dan bekerjasama menjayakan program tersebut. Terdahulu, SWM Environment dan Pusat Komuniti ADUN Senai telah menyerahkan sumbangan kepada 60 buah keluarga kurang berkemampuan. Program yang turut dijayakan oleh JCI South Key, McDonald’s dan Lee Biscuit tersebut telah dihadiri oleh ADUN Senai, Tee Boon Tsong, wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Adib Reeza Osman dan Pengarah Eksekutif, SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik.