SWM ENVIRONMENT GANTI TONG SAMPAH BERODA YANG ROSAK DAN HANYUT DI KOTA TINGGI

...

, 24 February 2021

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menerusi Inisiatif Penggantian Tong Sampah Beroda Akibat Bencana Banjir mula menggantikan tong sampah beroda (TSB) yang rosak dan hanyut. SWM Environment dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penggantian membabitkan 398 premis kedai di 17 lokasi sekitar kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). Pengurus Besar Korporat, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab korporat SWM Environment dalam memastikan operasi kutipan sisa pepejal mematuhi piawaian prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan.


Jelasnya, pengedaran TSB akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan seluruh rumah dan kedai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor yang terjejas akibat banjir. Menurut beliau, SWM Environment memutuskan inisiatif penggantian TSB tersebut dilaksanakan secara terus ke rumah dan kedai mangsa banjir berdasarkan maklumat yang telah dikumpulkan. Ujarnya lagi, pelaksanaan seumpama ini diambil sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri Johor sekaligus memastikan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tambah beliau lagi, ia sebagai pelengkap kepada seluruh inisiatif tanggungjawab sosial korporat SWM Environment sepanjang tempoh bencana banjir melanda negeri Johor yang menyaksikan 444,821 kilogram sampah dibersihkan melalui Operasi Bantuan Banjir. Manakala sejumlah 500 buah keluarga mangsa banjir pula telah menerima pengagihan sumbangan SWM Kasih Bantuan Banjir sejak pertengahan bulan lalu. Dalam pada itu, setiap pemilik premis yang terjejas boleh menyalurkan sebarang pertanyaan tentang inisiatif berkenaan melalui Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472.