SWM Environment Ganti Tong Sampah Rosak, Hanyut Akibat Banjir
JOHOR BHARU, 23 February 2021 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan menggantikan 398 tong sampah beroda (TSB) yang rosak dan hanyut akibat bencara banjir di 17 lokasi sekitar daerah ini. Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya memperkenal program Inisiatif Penggantian Tong Sampah Beroda Akibat Bencana Banjir bagi memastikan operasi kutipan sisa pepejal tidak terjejas. Pengedaran TSB dilaksanakan secara berperingkat membabitkan seluruh rumah dan kedai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor yang terjejas akibat banjir. SWM Environment memutuskan inisiatif penggantian TSB tersebut dilaksanakan secara terus ke rumah dan kedai mangsa banjir berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Kata Mohd. Norlisam, pelaksanaan itu sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 di Johor sekali gus bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi. Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga sebagai pelengkap kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment sepanjang tempoh bencana banjir melanda negeri ini. Sementara itu, Mohd. Norlisam berkata, banjir di Johor pada bulan lalu menyaksikan 444.821 tan metrik sampah dibersihkan melalui Operasi Bantuan Banjir. Menurutnya, 500 keluarga mangsa banjir pula menerima pengagihan sumbangan SWM Kasih Bantuan Banjir sejak pertengahan bulan lalu. UTUSAN ONLINE