Perkhidmatan SWM Environment Berjalan Seperti Biasa Ketika Tahun Baru

...

, 09 February 2021 Perkhidmatan SWM Environment Berjalan Seperti Biasa Ketika Tahun Baru Cina   MELAKA SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan memberi tumpuan dan keutamaan khusus kepada kawasan utama yang mempunyai bilangan penduduk kaum Cina yang ramai sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah tambahan yang banyak dan tidak terkawal.   Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihak operasi telah mengenal pasti lokasi-lokasi utama tersebut yang memerlukan perhatian untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di lokasi tong sampah berpusat.   “Sempena perayaan Tahun Baru Cina, SWM Environment di Melaka akan beroperasi seperti biasa termasuk sepanjang dua hari cuti umum pada 12 dan 13 Februari ini.    ”Sebanyak 79 kenderaan lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan anggota seramai 366 orang akan bertugas pada hari pertama dan kedua sambutan Tahun Baru Cina, katanya.   “Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina disambut ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai dijangka lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Maka, peningkatan janaan sisa pepejal di rumah dijangka akan berlaku hasil kekerapan aktiviti seperti memasak dan memesan perkhidmatan penghantaran makanan.   SWM Environment turut menyediakan inisiatif KITARecycle yang membolehkan pengguna yang berdaftar mendapat mata ganjaran bagi lebih 20 jenis barangan kitar semula. Semoga amalan SAS dan 3R yang dipraktikkan ini dapat melahirkan masyarakat yang peka dengan penjagaan alam sekitar, katanya.   Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam di sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina ini, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.