SWM Environment Tingkat Khidmat Sempena TBC

...

, 08 February 2021 MARINA SAHABUDIN MELAKA SWM Environment Sdn. Bhd. memberi tumpuan khusus kepada kawasan utama yang mempunyai bilangan penduduk kaum Cina ramai sempena Tahun Baru Cina (TBC) bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah tambahan dan tidak terkawal. Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihak operasi telah mengenal pasti lokasi-lokasi utama tersebut yang memerlukan perhatian untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di lokasi tong sampah berpusat. Sempena perayaan TBC, SWM Environment di Melaka beroperasi seperti biasa termasuk sepanjang dua hari cuti umum pada 12 dan 13 Februari ini. Kami juga telah merancang strategi bagi operasi di musim perayaan TBC dengan menyusun jadual kutipan sampah dan memastikan tenaga kerja serta jumlah kenderaan mencukupi. Sebanyak 79 kenderaan lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan anggota seramai 366 orang akan bertugas pada hari pertama dan kedua sambutan perayaan,” katanya. Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan pembaziran makanan sepanjang musim perayaan ini. Memandangkan perayaan TBC disambut ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai dijangka lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Maka, peningkatan janaan sisa pepejal di rumah dijangka akan berlaku hasil kekerapan aktiviti seperti memasak dan memesan perkhidmatan penghantaran makanan. “Sehubungan itu, kami berharap orang ramai tidak membazirkan makanan agar penjanaan sampah dibuang ke tapak pelupusan dapat dikurangkan,” katanya. Pihaknya juga memohon kerjasama daripada penduduk negeri Melaka bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran dengan memasukkan sampah ke dalam tong sampah disediakan SWM Environment. Orang ramai disaran memanfaatkan masa lapang di rumah untuk mengamalkan budaya Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) serta aktiviti 3R (reduce, reuse and recycle) sebagai rutin harian. “Sudah tiba masanya kita menjadikan amalan pengasingan sampah mengikut kategori yang betul sebagai sebahagian daripada norma baharu dalam kehidupan seharian. Penduduk boleh merujuk jadual kutipan +1 seminggu sekali oleh SWM Environment bagi menguruskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula. Inisiatif KITARecycle dilaksanakan juga membolehkan pengguna berdaftar mendapat mata ganjaran bagi lebih 20 jenis barangan kitar semula. Semoga amalan SAS dan 3R dipraktikkan ini dapat melahirkan masyarakat peka dengan penjagaan alam sekitar, katanya. Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam di sepanjang tempoh sambutan perayaan, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082. -MF-

https://melakafirst.com/2021/02/08/swm-tingkat-khidmat-sempena-tbc/