4,586 kakitangan SWM Environment bertugas pada Tahun Baharu Cina

...

JOHOR BAHRU, 03 February 2021 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyarankan penduduk di negeri ini memanfaatkan perkhidmatan Kutipan +1 yang dijalankan pihaknya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.   Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, perkhidmatan itu bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula. Menurut beliau, seramai 4,586 kakitangan SWM Environment di Johor akan bertugas seperti biasa sempena Tahun Baharu Cina ini.   “Langkah tersebut diambil bagi memenuhi keperluan penduduk yang meraikan perayaan tersebut dalam membersihkan kediaman sekali gus menghindari masalah longgokan sampah di kawasan perumahan. “Penduduk perlu melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca melalui pembuangan sisa domestik ke dalam tong sampah beroda (TSB) manakala sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula pula ditempatkan di tepi TSB mengikut jadual Kutipan +1 sebanyak seminggu sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.   Tambahnya, jadual perkhidmatan bagi menguruskan sisa buangan boleh dirujuk pada papan tanda jadual perkhidmatan di kawasan perumahan masing-masing atau layari laman web korporat SWM Environment di www.swm-environment.com. Sementara itu, beliau turut memaklumkan kepentingan program KITARecycle SWM Environment iaitu platform kitar semula yang menawarkan ganjaran kepada penduduk melalui tiga langkah mudah.   “Pertama, mengasingkan barangan kitar semula terkumpul mengikut kategori ke dalam bungkusan berpelekat kod QR atau bercatatan nombor keahlian KITARecycle. “Seterusnya, menempatkan bungkusan tersebut di tepi TSB mengikut jadual Kutipan +1 dan akhir sekali, menebus mata ganjaran kepada wang tunai secara dalam talian di portal www.kitarecycle.com atau aplikasi mudah alih KITARecycle,” ujarnya.   Tambah beliau lagi, talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 akan terus beroperasi seperti biasa sempena Tahun Baharu Cina ini. “Selain itu, penduduk yang menghadapi kesulitan atau mempunyai sebarang pertanyaan juga boleh menghantar pesanan WhatsApp di nombor 012-6180082,” ujarnya lanjut.   Mohd. Norlisam memaklumkan, kemudahan Sangkar KITARecycle turut disediakan di Galeri Seri Austin, Taman Seri Austin, Sunway Citrine Hub, Sunway Iskandar manakala Kaunter KITARecycle pula diwujudkan di Pejabat Operasi Wilayah SWM Environment di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru dan Pura Kencana, Batu Pahat. “Perkhidmatan ini bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar mendapatkan bantuan seperti pendaftaran, pertanyaan, penebusan mata ganjaran dan penghantaran barangan kitar semula terkumpul mereka,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE