SWM Environment Saran Penduduk Manfaatkan Kutipan Sisa Pukal

...

JOHOR BAHRU, 03 February 2021 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyarankan penduduk di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor untuk memanfaatkan perkhidmatan Kutipan +1 bagi sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Pengurus Besar Korporat, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment dengan kekuatan seramai 4,586 anggota kerja akan bertugas seperti biasa sempena perayaan bagi memudahkan penduduk membuat pembersihan dan persediaan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menyarankan agar penduduk untuk melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dengan sisa domestik dibuang ke dalam Tong Sampah Beroda (TSB) manakala sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula pula ditempatkan di sebelah TSB bagi Kutipan +1 mengikut jadual kutipan. Penduduk juga boleh mengetahui jadual perkhidmatan SWM Environment dengan merujuk kepada papan tanda jadual di kawasan perumahan atau melayari laman web SWM Environment di www.swm-environment.com. Beliau juga menekankan program KITARecycle sebagai platform terbaik bagi penduduk melaksanakan aktiviti kitar semula yang menawarkan mata ganjaran dan ditebus kepada wang tunai. Dalam pada itu, pihak SWM Environment turut menyediakan kemudahan Sangkar KITARecycle yang ditempatkan di Galeri Seri Austin, Taman Seri Austin dan Sunway Citrine Hub, Sunway Iskandar bagi memudahkan penduduk setempat serta Kaunter KITARecycle di Pejabat Operasi SWM Environment di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru dan Pura Kencana, Batu Pahat yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran, pertanyaan dan penghantaran barangan kitar semula. Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan, penduduk boleh hubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau pesanan WhatsApp di 012-618 0082.Â