Teruk. Membeli-belah Dalam Talian Meningkat, Sampah Plastik Juga Meningkat.

...

SEREMBAN, 27 January 2021 Peningkatan pembelian barangan secara dalam talian semasa tempoh perintah kawalan pergerakan telah meningkatkan jumlah bekas pembungkusan barangan dan beg plastik. Mohd Norlisam, Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan hari ini menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, meningkatkan aktiviti pembelian dalam talian menyebabkan pertambahan lambakan sisa plastik pembungkusan dan dijangka akan meningkat. Beliau juga memberitahu bahawa sisa plastik mengambil masa sekurang-kurangnya 400 tahun untuk terurai. Jumlah yang banyak akan membebankan tapak pelupusan sampah dan memendekkan jangka hayat sesebuah tapak pelupusan serta mengeluarkan gas karbon sehingga mencemarkan alam sekitar. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh SWCorp Malaysia, seorang individu secara purata menghasilkan sampah sebanyak 1.17 kilogram bermakna secara keseluruhan sampah yang dihasilkan oleh seluruh rakyat Malaysia ialah 37,890 tan sampah; pada tahun 2005, jumlah sampah secara purata bagi seorang individu hanyalah 0.8 kilogram, 19,000 tan sehari di Malaysia. Beliau menjelaskan berbanding pada tahun 2005 sebanyak 44.5% jumlah sampah telah bertambah sebanyak 20% pada tahun 2018. Oleh itu, sisa plastik perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan ianya tidak membebankan tapak pelupusan dan membolehkan penggunaan sumber dengan baik. Mohd Norlisam memberitahu pihak syarikat telah memperkenalkan program pemberian mata ganjaran bagi individu yang melaksanakan kitar semula dan mata ganjaran tersebut boleh ditukarkan kepada wang tunai. Penduduk di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor boleh mengambil peluang mendaftarkan diri sebagai ahli dan mengumpul mata ganjaran. Mata ganjaran boleh ditukarkan kepada wang tunai melalui pemindahan wang ke akaun bank individu.