COVID-19 - SWM JOHOR TINGKAT PERLINDUNGAN PEKERJA

...

MERSING, 21 February 2020 SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Wilayah Johor Selatan meningkatkan langkah perlindungan anggotanya yang bertugas di lapangan terutamanya di lokasi tumpuan pelancong daripada terdedah kepada risiko jangkitan wabak novel koronavirus (Covid-19). Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, langkah proaktif tersebut bagi melengkapi prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan SWM Environment sedia ada seiring saranan sementara dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). “Pihak SWM Environment telah menyediakan topeng penutup mulut dan hidung serta cecair pencuci tangan yang secukupnya serta menjalinkan kerjasama dengan pejabat-pejabat kesihatan daerah bagi menganjurkan taklimat pencegahan jangkitan wabak penyakit di setiap cawangan SWM Environment. “Pihak SWM Environment akan memberi perhatian khusus kepada anggota Unit Pusat Bandar di bandarbandar utama yang menjadi tumpuan pelancong,”katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat pencegahan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Mersing membabitkan anggota SWM cawangan Mersing, baru-baru ini. Tambahnya, pendekatan tersebut diambil bagi menguruskan kontak rapat dan pencegahan penularan penyakit berjangkit di lokasi tumpuan pelancong dalam kalangan anggota SWM Environment. Jelasnya, langkah itu juga sebagai salah satu usaha yang secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Johor 2020. Johorkini