SWM kutip 45 tan sampah ketika banjir di Johor
JOHOR BAHRU, 09 January 2021 Syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM kutip 45 tan sampah ketika banjir di Johor SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengutip 45 tan sampah bermula 3 Januari lalu sehingga semalam, susulan banjir di negeri itu. Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata kerja pembersihan dilaksanakan 110 kakitangan dengan menggunakan 37 jentera dan aset milik syarikat berkenaan termasuk 18 lori Roro, lima lori pemungut sampah terbuka, lima jentera penyembur, tiga lori Ultra Whack dan enam jentolak. "Kerja pembersihan ini dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Segamat dan Mersing. "Ia akan diteruskan sehingga selesai dengan semua sampah akan dihantar ke tapak pelupusan terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Mohd Norlisam berkata, SWM turut menempatkan 30 unit tong sampah beroda dan mengatur laluan lapan kompaktor perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh Johor. Katanya, inisiatif itu dilaksanakan atas dasar keprihatinan SWM terhadap tahap kebersihan dan kesihatan mangsa yang ditempatkan di setiap PPS. "Inisiatif pembersihan pasca banjir dilaksanakan untuk memudahkan mangsa banjir melaksanakan pembersihan dan seterusnya melupuskan sisa buangan di kediaman masing-masing," katanya. Dalam pada itu, beliau menyarankan pemilik premis melaporkan kehilangan tong sampah beroda (TSB) mereka kepada pihak polis sekiranya TSB yang dibekalkan hanyut atau rosak akibat banjir. Katanya, pemilik boleh berbuat demikian dengan mengemukakan permohonan penggantian TSB bersama salinan laporan polis yang telah dibuat. Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472. BERNAMA