SWM KASIH KRISMAS RAI INSAN KURANG BERNASIB BAIK
MELAKA, 25 December 2020 Sempena program SWM Kasih Krimas, seramai 30 keluarga kurang berkemampuan telah diraikan. Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment, Dr. Al’Ashari Othman berkata, program diadakan itu merupakan entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu. Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat memberikan kecerian kepada golongan penerima. “Hari ini kita berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 30 keluarga tersebut, semoga inisiatif ini dapat membantu meringankan beban mereka khususnya yang menyambut hari natal tahun ini,†katanya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, bantuan diberikan secara bersasar kepada golongan memerlukan terutamanya mereka dalam kategori B40. “Tahun ini, buat julung kalinya SWM Environment Melaka menjalankan program SWM Kasih Krismas dengan kerjasama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) sebagai usaha mendekati masyarakat. “Ia juga bertepatan bagi membantu keluarga yang terjejas akibat COVID-19 dan wabak ini tidak menjadi penghalang bagi penganut agama Kristian menyambut perayaan krismas dalam norma baharu dengan meriah,†katanya. Majlis penyerahan sumbangan berbentuk barangan makanan asas dan barangan perlindungan diri COVID 19 itu diadakan di Persatuan Persaudaraan Kristian Melaka, Batu Berendam. Pada masa sama, Persatuan Persaudaraan Kristian Melaka turut mendaftar dengan KITARecycle iaitu program kitar semula oleh SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran kepada ahlinya. Mata ganjaran diperolehi boleh ditukar kepada bentuk wang tunai melalui pemindahan dalam talian terus ke dalam akaun bank ahli KITARecycle. Orang ramai yang berminat untuk menyertai program KITARecycle boleh melayari laman web www.kitarecycle.com dan mendaftar terus secara percuma.