SWM ENVIRONMENT KEKAL JADUAL KUTIPAN SAMPAH SEMASA HARI KRISMAS

...

SEREMBAN, 18 December 2020 Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) akan mengekalkan jadual pengutipan sisa domestik dan sisa kitar semula, pukal dan taman pada perayaan Hari Krismas nanti. Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, SWM Environment Dr. Al’ Ashari Othman berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi memastikan sisa sampah dikutip pada masa yang ditetapkan dengan menjangkakan berlaku peningkatan buangan sisa. “Sempena perayaan Krismas saban tahun, kami telah bersiap sedia dengan jadual kutipan, perkhidmatan kami tidak berubah walaupun hari perayaan iaitu kutipan sisa domestik dua kali dalam seminggu manakala, kutipan bagi sisa pukal dan sisa kebun sekali seminggu yang dipaparkan di setiap taman. “Selain itu, pihak kerajaan mewajibkan pengasingan sisa kalau ia dapat dilaksanakan oleh kami dan dapat mengurangkan sampah di tapak pelupusan sampah dan bahan-bahan yang boleh dikitar semula ini ada harganya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program SWM Kasih sempena Hari Natal di Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-kanak Budimas Orion dekat sini hari ini. Pada program berkenaan, SWM Environment menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan memberikan sumbangan kepada 29 orang anak yatim sempena sambutan Hari Natal minggu depan. “Kami mengadakan program ini dengan harapan dapat membawa kegembiraan kepada mereka walaupun terpaksa menyambut perayaan pada tahun ini dalam keadaan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kini,” kata Dr. Al’ Ashari lagi. Dalam pada itu, katanya, dalam program berkenaan unit 3R Troopers SWM turut mendedahkan penghuni pusat jagaan tersebut dengan pelaksanaan amalan kitar semula menerusi program KITARecycle. “Pusat jagaan tersebut boleh mendapat mata ganjaran apabila melaksanakan kitar semula dan mata ganjaran yang diperolehi boleh ditukarkan kepada bentuk wang tunai melalui pemindahan terus ke akaun dana pusat jagaan. “Pihak syarikat percaya, dengan menerapkan pendidikan daripada kecil untuk menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada amalan gaya hidup terkini dapat mewujudkan generasi yang peka terhadap kesedaran penjagaan alam sekitar, ” katanya. – K! ONLINE.

http://