267 KENDERAAN PEMBERSIHAN SWM ENVIRONMENT DIPASANG JALUR GEMILANG

...

MELAKA, 12 August 2020 Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di semua 267 buah jentera pembersihan miliknya di negeri ini. Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, usaha itu juga bagi menyahut seruan Kerajaan sempena pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 dengan tema ‘Malaysia Prihatin’. “Pemasangan Jalur Gemilang ini adalah simbolik kepada semangat patriotisme cintakan kepada negara tanah tumpah darah kita ini seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63. Kami berharap inisiatif ini dapat menyuburkan lagi nilai patriotik dalam kalangan masyarakat umum termasuk juga warga kerja SWM Environment,” katanya. Acara pelepasan (flag off) jentera SWM Environment telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis. Menurut Mohd Norlisam, pemasangan Jalur Gemilang di kenderaan SWM Environment juga sebagai tanda menzahirkan sokongan solidariti kepada semua wira barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak COVID-19 termasuklah warga kerja pembersihan SWM Environment yang telah bertungkus-lumus menjaga kebersihan. Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil semangat Sambutan Bulan Kebangsaan ini untuk memerdekakan mentaliti dengan berhijrah ke arah ingin mempertingkatkan kebersihan di kawasan kediaman masing-masing, kejiranan, negeri dan negara kita dengan mengamalkan pengurusan sisa dengan lebih berhemah seperti Pengasingan Sisa Di Punca (Separation At Source – SAS) dan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

http://