KKJS, SWM Environment Jalin Kerjasama Strategik Dalam Pengurusan Sisa

...

JASIN, 04 July 2026

Kolej Komuniti Jasin (KKJS) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Negeri Melaka memeterai Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengurusan sisa mampan dan pemeliharaan alam sekitar, semalam.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata antara inisiatif yang dirancang termasuk pelaksanaan program pengasingan sisa, aktiviti kitar semula serta program pendidikan dan kesedaran alam sekitar bagi menyokong agenda kelestarian negara.

“Kerjasama ini turut selaras dengan pendekatan GUCI yang diperkenalkan oleh SWM Environment, iaitu model kolaborasi yang menghubungkan Kerajaan (Government), Universiti (University), Komuniti (Community) dan Industri (Industry) dalam usaha memperkukuh pengurusan sisa secara mampan,” katanya, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata kerjasama tersebut merupakan satu langkah strategik yang selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya di bawah Lonjakan Kesembilan iaitu Kemampanan dan Kesihatan Bumi.

“Inisiatif ini juga menyokong iltizam ketujuh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi tahun 2026 yang menekankan pembudayaan amalan kemampanan di semua institusi Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Inisiatif yang sebelum ini dilaksanakan dalam skala kecil di kampus itu dijangka diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai penduduk serta sokongan padu daripada pemimpin tempatan,” katanya.

Kerjasama itu dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar dan warga KKJS, di samping memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi pelaksanaan pelbagai program berteraskan kelestarian alam sekitar di daerah Jasin dan kawasan sekitarnya.

https://malaysiaaktif.my/2026/07/kkjs-swm-environment-jalin-kerjasama-strategik-dalam-pengurusan-sisa/