Golongan OKU Juga Mampu Menyumbang Kepada Kelestarian Alam Sekitar. Pusat Kitar Semula 'KITARecycle' Pertama di Negeri Sembilan yang Mesra OKU
SEREMBAN, 12 June 2026
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) cawangan Nilai menyambut baik pembukaan Pusat Pandu Lalu KITARecycle pertama di Negeri Sembilan yang dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, sekali gus membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) turut serta dalam aktiviti kitar semula dan bersama-sama menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Pusat kitar semula berkenaan merupakan hasil kerjasama antara pihak kerajaan tempatan, Coca-Cola Bottlers Malaysia dan SWM Environment, serta merupakan pusat kitar semula ke-5 yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik tersebut.
Seiring usaha pelbagai pihak dalam memperkukuh amalan kitar semula di Negeri Sembilan, jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan terus menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan sisa, malah turut menjimatkan kos pengurusan dan pelupusan sisa pepejal.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato' Ir. Ts. Masri Baharuddin, ketika berucap pada majlis perasmian berkata bahawa usaha pemeliharaan alam sekitar tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama erat antara syarikat swasta, agensi kerajaan dan pelbagai organisasi bagi memastikan inisiatif kelestarian dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai hasil yang memberangsangkan.
Beliau mendedahkan bahawa pada tahun lalu, SWM Environment berjaya mengumpulkan sebanyak 863 tan bahan kitar semula, meningkat 19% berbanding 724 tan pada tahun 2024, manakala pada tahun 2023 jumlah kutipan adalah 459.6 tan. Bagi tahun ini pula, sehingga bulan Mei, hampir 400 tan bahan kitar semula telah berjaya dikumpulkan.
“Sehingga April tahun ini, KITARecycle telah menarik penyertaan seramai 55,114 ahli, manakala jumlah ganjaran yang telah ditebus oleh ahli pada tahun lalu mencecah lebih RM226,639,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh bahawa Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan, dengan jumlah kutipan bahan kitar semula meningkat daripada 3.7 tan pada tahun 2023 kepada 30.2 tan pada tahun 2025. Peningkatan ini jelas mencerminkan bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar semakin baik dan mula membuahkan hasil.
Beliau juga menyeru seluruh warga Negeri Sembilan, khususnya penduduk di kawasan Seremban, agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kitar semula yang telah disediakan. Menurut beliau, amalan kitar semula bukan sekadar satu tindakan menjaga alam sekitar, malah merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh seluruh masyarakat. Hanya melalui kerjasama dan tindakan berterusan, usaha mewujudkan persekitaran yang lestari serta kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang dapat direalisasikan.
Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei, Khairul Anwar Ab Gahani berkata, pusat kitar semula ke-5 yang ditaja oleh Coca-Cola ini juga merupakan pusat kitar semula pertama di Negeri Sembilan yang dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU seperti laluan landai (ramp) dan pemegang tangan, sekali gus memudahkan pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa Pusat Pandu Lalu KITARecycle tersebut menggunakan 100 peratus tenaga solar serta dilengkapi dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan pengguna dan meningkatkan kecekapan pemantauan sepanjang masa.
Beliau percaya bahawa usaha membudayakan amalan kitar semula bukanlah tanggungjawab kerajaan atau sesebuah organisasi semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan tempatan, syarikat swasta, sekolah dan masyarakat setempat.
“Usaha ini turut mencerminkan komitmen kami sebagai pengeluar yang bertanggungjawab dalam membantu mengurus sisa pembungkusan selepas penggunaan. Pada masa yang sama, ia menyokong usaha kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memacu ekonomi kitaran serta memperkukuh pelaksanaan dasar Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (Extended Producer Responsibility - EPR) demi pembangunan mampan Malaysia,” katanya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato' Ir. Ts. Masri Baharuddin turut menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama mengamalkan kitar semula bagi memastikan Seremban terus menjadi sebuah bandar yang mampan, bersih dan sejahtera.
Beliau menambah, penduduk hanya perlu mengasingkan bahan kitar semula di rumah sebelum menghantarnya ke Pusat Pandu Lalu KITARecycle. Bahan yang dihantar akan ditimbang mengikut kategori dan jenis pembungkusan, manakala peserta akan menerima ganjaran dalam bentuk mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai, sekali gus memberi galakan kepada masyarakat untuk terus aktif menyertai aktiviti kitar semula.