IBU TUNGGAL HERO PEKERJA PEMBERSIHAN

...

, 18 June 2020 IBU tunggal, Rohani Yasin, dipilih sebagai penerima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan mewakili Melaka sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 berlangsung di Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Cyberjaya, kelmarin. SWM Environment Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, ibu kepada empat anak berusia antara 16 hingga 24 tahun adalah pekerja rendah am sapuan dan berkhidmat di syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di cawangan Alor Gajah sejak 11 tahun lalu. Rohani, 53, yang pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2018 berkata, dia tidak pernah malu dengan pekerjaannya kerana ia menjadi sumber rezeki utama keluarga selepas kematian suami Mohd Rashid Sampay, yang juga pekerja SWM Environment, dua tahun lalu. “Saya berbangga, dengan pekerjaan ini saya mampu menyara anak-anak dan memastikan mereka berjaya dalam pelajaran serta mencapai impian serta cita-cita mereka. Dua daripada mereka berjaya belajar di peringkat diploma setakat ini. “Saya bersyukur terpilih sebagai penerima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan dan menjadikan pengiktirafan ini sebagai pemangkin semangat untuk bekerja bersungguh-sungguh selagi kudrat ada, bagi memastikan kebersihan khususnya di Alor Gajah sentiasa terjaga,” katanya dalam kenyataan sama. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong memaklumkan Rohani menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil yang disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. Ho berkata, pemilihan Rohani dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang, komitmen tinggi terhadap kerja serta mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja. Katanya, anugerah itu adalah pengiktirafan kepada pekerja pembersihan yang bertungkus lumus memastikan keselesaan masyarakat. “Semoga anugerah ini dapat membuka mata orang ramai pekerja pembersihan juga mempunyai sumbangan penting terhadap negara,” katanya. Beliau berkata, Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 buat julung kali dianjurkan SWCorp bagi menghargai sumbangan pekerja pembersihan termasuk memilih Anugerah Hero Pekerja Pembersihan dari setiap negeri.

http://