SWM ENVIRONMENT JULUNG KALI RAIKAN HARI PEKERJA PEMBERSIHAN
JOHOR BAHRU, 17 June 2020 Buat pertama kalinya SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meraikan Hari Pekerja Pembersihan (Garbage Man Day) yang diraikan pada setiap 17 Jun. Ketua Pegawai Eksekutif, Ho De Leong berkata ia menjadi platform kepada pihaknya bagi menghargai peranan dan sumbangan anggota kerja dalam memastikan kesejahteraan dan kebersihan persekitaran di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Johor. Ho berkata, SWM Environment berbangga dengan komitmen 5,810 pekerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan di Johor yang menjadi tulang belakang bagi memastikan segenap aspek perkhidmatan yang dilaksanakan berkualiti kepada masyarakat sekaligus melestarikan alam sekitar. “Anggota kerja SWM Environment tersebut bukan sahaja komited melaksanakan tugasan hakiki mereka merentasi batas waktu, cuaca dan keadaan di lapangan kerja, malah turut berada di barisan hadapan perkhidmatan perlu (essential service) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 sejak Mac lalu selain terlibat dalam melaksanakan Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di kawasan-kawasan berisiko,†katanya dalam satu kenyataan. Beliau terdahulu menyantuni anggota SWM Environment Cawangan Johor Bahru sempena Program Temu Mesra Hari Pekerja Pembersihan 2020 Negeri Johor, semalam. Program turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Pengarah SWCorp Negeri Johor, Tuan Cairul Hisham Jalaluddin. Sementara itu, Ayub Jamil turut menyambut baik usaha mengetengahkan sambutan Hari Pekerja Pembersihan yang julung kali diraikan di Johor. Ayub turut merakamkan jutaan terima kasih atas sumbang bakti anggota kerja SWM Environment dan berharap agar mereka terus berdedikasi bagi memastikan negeri Johor sentiasa berada dalam keadaan bersih, indah dan selesa. Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk bersama meraikan peranan dan sumbangan para pekerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam tersebut dengan mengamalkan kaedah pengurusan sisa pepejal yang betul termasuk mengamalkan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di kediaman masing-masing. Johorkini