Program KITARecycle di Negeri Sembilan mencerminkan peningkatan kesedaran
NILAI, 02 January 2026
SWM Environment menggalakkan penduduk untuk mengamalkan pengurusan sisa secara berhemah, termasuk amalan pengasingan sisa di punca dan penyertaan aktif dalam Program KITARecycle, sebagai usaha kolektif bersama ke arah persekitaran yang lebih bersih, lestari dan sejahtera.
Sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkasa budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat, Program KITARecycle SWM Environment terus mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2025.
Dari Januari hingga 18 Disember 2025, sebanyak 828 tan barangan kitar semula berjaya dikumpulkan di seluruh Negeri Sembilan, mencerminkan peningkatan kesedaran dan penglibatan aktif masyarakat.
Kutipan tertinggi melibatkan kertas sebanyak 537 tan, diikuti plastik (193.2 tan), logam (44.84 tan) dan sisa elektronik atau (e-waste) (18.75 tan).
Pencapaian ini bukan sahaja mengurangkan beban di tapak-tapak pelupusan sisa pepejal, malah menyumbang secara langsung kepada pemeliharaan alam sekitar dan ekonomi kitaran.
Sehingga kini, Program KITARecycle telah disokong oleh 41,428 ahli berdaftar, dengan kemudahan kitar semula yang meluas merangkumi tujuh Pusat Pandu Lalu KITARecycle, 27 Drop-Off Collection Point, 62 Sangkar KITARecycle serta tiga DTRC Sejati MADANI.
Pencapaian ini menegaskan peranan SWM Environment sebagai pemacu utama kelestarian, sekali gus membuktikan bahawa perubahan besar bermula dengan tindakan kecil masyarakat, demi masa depan negeri yang lebih bersih, hijau dan mampan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472, menghantar mesej melalui WhatsApp di 012-618 0082 atau melayari laman web rasmi https://swm-environment.com