Pasar Awam Port Dickson tutup setiap Isnin

...

PORT DICKSON, 04 January 2026

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama SWCorp Cawangan Port Dickson dan SWM Environment Sdn Bhd Cawangan Port Dickson telah menganjurkan Program ‘Kick Start’ Penutupan Pasar Awam Utama Port Dickson setiap Hari Isnin di Pasar Awam Port Dickson bermula jam 8.00 pagi hingga selesai.

Program ini merupakan inisiatif permulaan bagi pelaksanaan penutupan operasi pasar awam utama pada setiap hari Isnin bermula Januari 2026 bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan berkala demi meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan awam serta keselesaan peniaga dan pengunjung di tiga lokasi utama iaitu Pasar Besar Port Dickson, Pasar Lukut dan Pasar Teluk Kemang.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua MPPD, Setiausaha MPPD, Ahli-Ahli Majlis MPPD serta ketua-ketua jabatan dalaman MPPD yang bersama-sama turun padang menyertai aktiviti pembersihan di sekitar kawasan pasar awam.

Program ini juga menyaksikan penglibatan langsung wakil-wakil peniaga Pasar Awam Port Dickson yang bersama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan aktiviti pembersihan pasar awam.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kerja-kerja mencuci lantai, pembersihan longkang, pengurusan sisa pepejal serta pembersihan kawasan gerai dan ruang awam pasar dengan kerjasama pihak konsesi pembersihan dan para peniaga pasar awam.

MPPD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya para peniaga pasar yang memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program ini.

Diharapkan pelaksanaan penutupan pasar setiap hari Isnin bagi kerja pembersihan intensif ini terus mendapat komitmen para peniaga pasar demi mewujudkan persekitaran pasar yang lebih bersih, selamat dan selesa untuk semua.

https://negerikita.org/pasar-awam-port-dickson-tutup-setiap-isnin/