Operasi pembersihan di Pusat Bandar Seremban sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026

...

SEREMBAN, 02 January 2026

Satu operasi pembersihan di Pusat Bandar Seremban telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif memperindah dan memastikan kebersihan bandar raya ini, khususnya dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Operasi ini telah dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang.

Program ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan dalam mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, selesa dan mesra pelancong.

Turut hadir memeriahkan program ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin; Setiausaha MBS, Ir. Ts. Br. Mohd Kamal Mohd Yusof; Ahli Majlis, Pembantu Ahli Majlis serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), SWCorp dan SWM.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Penyelenggaraan, Mohd Fadhil Kamaruddin; beliau memaklumkan bahawa operasi ini bertujuan membersihkan kawasan utama di Pusat Bandar Seremban melalui penglibatan enam kumpulan operasi yang digerakkan secara serentak.

Antara jalan-jalan yang terlibat dalam operasi pembersihan ini ialah Jalan Kapitan Yeong, Jalan Nunis, Jalan Yam Tuan, Jalan Dato’ Bandar Tunggal, Jalan Tuanku Munawir, Jalan Kong Sang, Jalan Dr. Krishnan, Jalan Tunku Hassan, Jalan Dato’ Sheikh Ahmad dan Jalan Dato’ Lee Fong Yee.

Skop utama operasi meliputi pembersihan tumbuhan liar di bangunan, pembersihan sampah serta kerja-kerja kutipan sampah bagi memastikan kawasan bandar berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Usaha ini bukan sahaja meningkatkan imej pusat bandar Seremban, malah menjadi simbol kesediaan Negeri Sembilan dalam menyambut kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, sekali gus menyokong agenda pelancongan mampan dan kesejahteraan komuniti setempat.

https://negerikita.org/operasi-pembersihan-di-pusat-bandar-seremban-sempena-tahun-melawat-negeri-sembilan-2026/