SWM edar 564 tong sampah beroda baharu di Taman Mulia Lagenda Suria, Pajam

...

NILAI, 31 December 2025

Sebanyak 564 buah tong sampah beroda (TSB) berkapasiti 120 liter telah diedarkan kepada penduduk Taman Mulia, Pajam menerusi Kempen Pengedaran Tong Sampah Beroda (TSB) anjuran SWM Environment Sdn Bhd dengan kerjasama SWCorp Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Kempen edaran TSB ini telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar; sekali gus menyerlahkan sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkukuh perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Sembilan.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir Ts Masri Baharuddin yang menzahirkan komitmen erat kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dan SWM Environment.

Kempen yang bermula pada jam 9.30 pagi ini bukan sekadar pengedaran tong sampah sebaliknya merupakan langkah proaktif dan strategik bagi bertujuan menggantikan TSB yang telah rosak sekali gus bagi memastikan setiap penduduk menikmati kemudahan dan perkhidmatan pelupusan sisa domestik yang lebih selamat, bersih dan cekap kepada penduduk setempat.

Menurut Mohd Norlisam, penggunaan TSB yang standard dan bersesuaian dengan keperluan lori kompaktor bukan sahaja membantu melancarkan operasi kutipan sisa pepejal, malah dapat turut mengurangkan risiko tumpahan sisa, pencemaran dan gangguan kesihatan awam.

“Pengedaran TSB ini melibatkan 564 buah premis di kawasan taman perumahan Taman Mulia yang melibatkan empat buah taman perumahan iaitu Lagenda Suria, Aester, Lotus dan Jalan 21,” jelas beliau.

Beliau menambah, pengedaran TSB ini dilaksanakan secara berperingkat bagi seluruh taman perumahan di Negeri Sembilan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Unit Logistik SWM Environment.

Sepanjang proses pengedaran TSB, setiap penduduk akan menerima sehelai kad ‘Fly Card’ rasmi SWM Environment lengkap dengan nombor siri TSB mengikut premis masing-masing.

Penduduk dikehendaki untuk mengimbas kod QR yang terdapat pada Fly Card. Langkah ini bagi bertujuan pengisian maklumat, pengesahan serta kemaskini rekod pengedaran dan penyimpanan data.

Pendekatan berasaskan sistem ini memastikan setiap TSB yang diedarkan dapat dipantau dengan tepat, teratur dan sistematik selaras dengan usaha SWM Environment untuk menyediakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang lebih cekap, bersih dan efisien.

Selain pengedaran TSB, satu lawatan kerja operasi kutipan sisa pepejal turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan perkhidmatan di lapangan, mengenal pasti cabaran operasi secara langsung serta memperkukuh koordinasi strategik antara pihak pengurusan, petugas operasi dan komuniti setempat.

Pendekatan turun padang ini mencerminkan iltizam SWM Environment dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

https://negerikita.org/swm-edar-564-tong-sampah-beroda-baharu-di-taman-mulia-lagenda-suria-pajam/