Jom kembali ke sekolah! CSR Back to School! Tingkatkan lagi semangat pelajar! Berjaya bidang akademik!
MELAKA, 17 December 2025
Seramai 50 pelajar sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menerima sumbangan barangan sekolah bagi persiapan sesi persekolahan 2026 pada satu program pada 17 Disember 2025.
Program di bawah entiti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SWM Kasih ‘Back to School’ (Kembali ke Sekolah) itu sebagai antara inisiatif syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Enviroment dalam menyumbang kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
Menurut Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, pihaknya berbesar hati untuk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong dalam memberikan sumbangan kepada golongan pelajar sekolah yang memerlukan dalam DUN Duyong.
“Untuk SWM Kasih ‘Back to School’ di Melaka kali ini, pihak kami berbesar hati untuk menyumbang barangan persekolahan seperti beg galas SWM Environment dan set alat tulis kepada para pelajar yang memerlukan.
“Diharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga pelajar yang terlibat bagi persiapan menjelang sesi persekolahan 2026, sekali gus meningkatkan lagi semangat kepada para pelajar ini untuk terus menuntut ilmu dan berjaya dalam bidang akademik.
“Pihak SWM Environment juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Japerun di atas sokongan berterusan kepada semua pihak dalam membantu para pelajar yang memerlukan bantuan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam akademik,” katanya.
SWM Environment turut berharap semoga para pelajar ini bakal menyumbang sesuatu bukan sahaja buat kemajuan di DUN Duyong, malah buat negeri Melaka dan negara pada masa hadapan.
Penyampaian sumbangan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong itu disempurnakan oleh Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong.