SWM Environment bersama UTeM anjur larian, tarik lebih seribu peserta

...

MELAKA, 03 December 2025

SWM Envioronment bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan program “KITARecycle, Larian Lestari” yang berlangsung di kawasan perkarangan gimnasium universiti tersebut, sekali gus menarik penyertaan lebih seribu pelajar serta pensyarah.

Larian sejauh kira-kira lima kilometer itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam. Program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran komuniti institusi pendidikan tentang amalan kelestarian alam sekitar.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program ini merupakan kerjasama antara syarikat dengan Pusat Kepintaran Alam Sekitar Pintar UTeM (CENSEi) sebagai usaha memperkukuh inisiatif kelestarian dan sempena sambutan ulang tahun ke-25 universiti.

Beliau menambah, program ini menunjukkan komitmen berterusan SWM dalam menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan dalam pelbagai bidang termasuk usaha pemuliharaan dan kitar semula.

Di samping itu, majlis turut mengadakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan kitar semula serta pengumpulan barangan terpakai, sebagai galakan kepada warga kampus mengamalkan budaya hijau dan menyokong penjagaan alam sekitar.

SWM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak penaja termasuk Aik Cheong Coffee Roasted, Coca-Cola Bottlers, Nestlé, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), AEON Melaka Ayer Keroh dan pihak lain yang memberikan sumbangan serta sokongan padu sepanjang penganjuran.

Turut hadir termasuk Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan barisan pengurusan universiti serta tetamu jemputan.