GELANDANGAN DAPAT KERJA.

...

SEREMBAN, 31 May 2020 “Selama lebih lima tahun saya mencari pekerjaan tetap tetapi semua temuduga yang saya hadiri tidak berjaya. Saya harap pekerjaan kali ini kekal sehingga pencen,” kata Farid Zulkifli. Farid, 32, antara tiga gelandangan yang berjaya dalam temuduga diadakan, baru-baru ini dan akan memulakan bekerja dengan syarikat konsesi sisa pepejal, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Negeri Sembilan pada 1 Jun ini (esok). Bekas pelatih Giat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pahang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, terharu apabila mendapat kerja dengan syarikat berkenaan. Anak keenam daripada sembilan beradik itu yang masih belum berumahtangga, berkata hasratnya untuk membuka lembaran baharu dalam hidupnya kini akan terlaksana dengan pekerjaan baharu yang akan dimulakannya. “Selama ini saya merantau mencari kerja di Seremban dan serata tempat di negeri ini tetapi tiada satu pun yang berjaya dan memuaskan hati. “Saya kemudian balik kampung dan melakukan pelbagai kerja untuk membantu keluarga sehinggalah saya terjebak dengan kumpulan gelandangan di Terminal One Seremban bermula awal tahun ini. “Niat saya hanyalah untuk membantu meringankan beban ibu bapa dan memperkukuhkan ekonomi keluarga,” katanya ketika ditemui ketika ditemui di Pusat Perpindahan Gelandangan Sementara (PPGS) di Dewan Orang Ramai, Taman Tasik Jaya, Paroi, di sini. Terdapat seramai 21 gelandangan ditempatkan di pusat itu selepas mereka diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan bagi menangani penularan wabak Covid-19, 18 Mac lalu. Bagi Nazelan Che Nordin, 32, yang turut sama berjaya dalam temuduga berkenaan dan akan memulakan kerja dengan syarikat terbabit esok berkata, dia amat lega apabila impiannya untuk mendapat pekerjaan tetap akhirnya tercapai. Nazelan yang berasal dari Jerteh Terengganu berkata, dia tidak rela menjadi gelandangan selamanya, kerana tindakan itu tidak dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. Beliau yang masih bujang berkata, dia bersyukur kerana mendapat kerja yang boleh menjamin masa depannya dan berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik. “Saya gembira dan bersyukur, ini adalah saat terbaik untuk saya berubah dan bina hidup baharu untuk bantu diri dan membantu keluarga. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dan JKM Negeri Sembilan yang banyak membantu kami,” katanya. Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, seramai 19 daripada 21 gelandangan di PPGS berpeluang mendapat pekerjaan selepas mereka disaring dari segi kesihatan dan keupayaan mereka. Katanya, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan adalah agensi yang mengendalikan sesi temuduga terbabit dengan beberapa syarikat dan hanya tiga daripada mereka berjaya serta diterima bekerja dengan SWM Environment bermula 1 Jun ini.

http://