Program kitar semula SWM telah menerima lebih daripada 220,000 kilogram barangan kitar semula.

...

SEREMBAN, 12 November 2025

Program kitar semula KITARecycle anjuran SWM Environment Sdn Bhd, bersempena dengan Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) 2025, telah menarik penyertaan seramai 1,353 ahli, berjaya mengumpul sebanyak 221,000 kilogram bahan boleh kitar semula dalam tempoh tiga bulan sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan syarikat itu hari ini, pertandingan yang dijalankan bermula Ogos lalu mencatat peningkatan 64% berbanding tahun 2024 yang merekodkan jumlah kutipan 142,000 kilogram, bersamaan dengan pengurangan kira-kira 1,298 tan pelepasan karbon.

Dalam kategori kumpulan, Hospital Columbia Asia Seremban muncul juara dengan jumlah kutipan 3,351 kilogram, diikuti Kolej Tingkatan Enam Tunku Muhriz di tempat kedua (1,660 kilogram), manakala Kolej Tuanku Ja’afar di tempat ketiga (1,551kilogram).

Turut berada dalam lima teratas ialah Bahagian Perolehan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Sembilan, masing-masing dengan kutipan melebihi 1,200 kilogram bahan boleh kitar semula.

Bagi kategori individu, Encik Jia Hua, seorang pesara, dinobatkan sebagai juara setelah berjaya mengumpul sebanyak 1,357 kilogram bahan kitar semula sepanjang tempoh pertandingan.

Menurut Pengurus Besar Kanan Korporat SWM Environment, Tuan Mohd Norlisam, program KITARecycle bukan sahaja menggalakkan amalan kelestarian alam sekitar, malah turut menjadi platform untuk memupuk interaksi antara masyarakat pelbagai kaum.

“Program ini bukan sekadar mengenai pengurusan sisa dan kitar semula, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan komuniti.

Apabila masyarakat mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar, ia secara tidak langsung menggalakkan sikap tolong-menolong dan keharmonian social dan inilah yang kami sebut sebagai ‘Perpaduan Hijau’,” katanya.

Beliau menambah, sistem mata ganjaran digital KITARecycle memudahkan orang ramai mengurus bahan kitar semula mereka. 
SWM Environment juga akan terus memperluaskan kemudahan kutipan ke kawasan perumahan, institusi pendidikan dan tempat awam, di samping memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.