SWM menyantuni lima keluarga kurang bernasib baik sempena Deepavali

...

MELAKA, 21 October 2025

Bersempena dengan sambutan Deepavali yang bakal tiba, SWM Environment telah mengadakan aktiviti kebajikan dengan melawat lima keluarga kurang bernasib baik di Melaka bagi menyampaikan sumbangan dan ucapan perayaan.

Menurut Pengurus Kanan Korporat SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin, inisiatif ini bertujuan untuk menunjukkan semangat prihatin dan perpaduan sosial yang tinggi dalam kalangan warga syarikat, khususnya pada musim perayaan.

Beliau berkata, pihak SWM sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan seperti keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya, agar mereka turut dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan.

“Kami komited untuk membantu mengurangkan beban mereka menjelang perayaan, bukan sahaja dengan memberi sumbangan keperluan asas, tetapi juga dengan memberikan semangat dan harapan baharu,” katanya.

Majlis penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Operasi, R Mahendran. Antara penerima bantuan termasuk keluarga yang mempunyai ahli berpenyakit kronik seperti angin ahmar, masalah jantung dan pesakit terlantar.

Selain program ini, SWM juga akan terus menjalankan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membawa kegembiraan dan harapan kepada komuniti yang memerlukan.