Sumbangan SWM Environment menyemarakkan nilai kasih saying menjelang perayaan Deepavali
MELAKA, 19 October 2025
SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meneruskan komitmen sosialnya dengan menganjurkan program SWM Kasih: Cahaya Deepavali untuk menyantuni lima keluarga berbangsa India di sekitar Melaka.
Objektif program ini adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan agar dapat menyambut perayaan Deepavali dengan gembiranya sekali gus mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial syarikat terhadap masyarakat berbilang kaum yang menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, syarikat sentiasa komited menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
Katanya, bantuan seperti ini dapat meringankan beban hidup keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan pesakit kronik.
Jelas beliau, lima keluarga terpilih menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan makanan kering. Beliau berharap agar sumbangan ini dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Antara penerima sumbangan yang lain termasuklah S. Rajam Bal a/p R. Singaram, warga emas dari Taman Wira, Kampung Tehel, Jasin dan Nithia a/p M. Ravi, ibu tunggal dari Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. Mereka merupakan wakil dari keluarga berpendapatan rendah yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Yang turut menerima sumbangan ini ialah Varatheraaj a/l V. Santiran, pesakit angin ahmar yang terlantar sakit di rumahnya sejak tiga tahun lalu di Taman Desa Damai, Cheng. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarganya meneruskan kehidupan harian.
Sementara itu, dua orang lagi penerima ialah Tamilselvi a/p Perumal, pesakit jantung kronik dan Sivagami a/p Rajoo, pesakit buah pinggang dari PPR Krubong. Mereka melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan pihak SWM Environment.
“Program ini bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di Melaka. Kehadiran sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa juga menyerlahkan nilai kasih sayang dan kebersamaan masyarakat Malaysia.
“SWM Environment berharap agar usaha ini menjadi inspirasi kepada organisasi lain untuk berbakti kepada komuniti. Program ini membuktikan bahawa tanggungjawab sosial korporat mampu menyatukan masyarakat melalui nilai kemanusiaan,” ujar Norlisam.
Beliau juga menzahirkan hasrat untuk meneruskan program kebajikan ini pada masa hadapan agar perpaduan dan nilai keprihatinan masyarakat Malaysia dapat diperkasakan.