SWCorp Anjur Majlis Graduasi untuk 243 Banduan Tamat Latihan Kemahiran Pengurusan Kebersihan.
BANGI, 03 October 2025
Agensi Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) pada Khamis telah mengadakan Majlis Graduasi bagi 243 orang banduan yang berjaya menamatkan Kursus Latihan Kemahiran Pengurusan Kebersihan Awam. Program ini memberi peluang kepada mereka yang bakal menamatkan hukuman untuk memohon pekerjaan di agensi kerajaan tempatan dan sektor berkaitan selepas dibebaskan.
Kesemua peserta yang menamatkan kursus ini menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia — setaraf dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis graduasi tersebut turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, komited melaksanakan dasar madani yang inklusif, terbuka dan berperikemanusiaan, bagi memberi peluang kedua kepada individu yang ingin memperbaiki diri.
Beliau berkata, program ini dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp, Jabatan Penjara Malaysia, serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Latihan kemahiran ini dijalankan selama lapan bulan secara profesional dan teratur, di mana setiap peserta turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500 sepanjang tempoh latihan,” jelasnya.
Selain 243 peserta daripada kalangan banduan, lima pegawai SWCorp turut menamatkan latihan dan menerima sijil kelayakan yang sama.
Kesemua peserta menjalani latihan di 18 Pusat Latihan Teknikal Jabatan Penjara di seluruh negara, dan kini layak memohon pekerjaan di SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd, dan SWM Environment Sdn Bhd sebagai kakitangan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan.
Menurut Nga Kor Ming, sejak program ini dilancarkan oleh SWCorp pada tahun 2023, seramai 1,100 peserta telah berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil kemahiran.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja membuka jalan bagi bekas banduan untuk membina semula kehidupan, malah menyumbang kepada kelestarian sosial dan kebersihan negara melalui tenaga kerja yang terlatih dan berdisiplin.