SWCorp Ke Arah Reformasi Pembersihan Awam, Guna Jentera Berteknologi Tinggi
MELAKA, 29 August 2025
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang melaksanakan inisiatif reformasi dalam sistem pembersihan awam dengan memperkenalkan penggunaan jentera berteknologi tinggi dan terkini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Khalid Mohamed berkata reformasi melibatkan penggunaan teknologi dari negara seperti
China, akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun hadapan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Beliau berkata antara yang sedang dilaksanakan ialah projek rintis penggunaan motosikal roda tiga elektrik oleh
petugas pembersihan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di Melaka.
"Kita sedang menyediakan kertas kerja pelaksanaan reformasi ini dan ia akan dibincangkan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Kewangan kerana melibatkan keputusan besar.
"Langkah ini akan memberi pulangan besar kepada pengurusan pembersihan awam dalam jangka masa panjang sekali gus
meningkatkan kecekapan kualiti perkhidmatan pembersihan yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di Banda Hilir di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan jentera pembersihan elektrik melibatkan lima motosikal tiga roda serta
sebuah kompaktor mini dan Operasi 'No Dust', yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin.
Khalid berkata penggunaan kenderaan elektrik bagi melaksanakan kerja pembersihan juga bertujuan mengurangkan
pencemaran udara, menjimatkan kos bahan api dan pelepasan gas rumah hijau.
Dalam pada itu, beliau berkata di bawah RMK13, SWCorp juga menyasarkan untuk memperluas perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ke luar bandar khususnya kawasan kampung di tujuh negeri di bawah seliaan perbadanan itu antaranya Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
"Kita sedang menyediakan perancangan ini dan berunding dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan berkaitan
kaedah pelaksanaan, selain mengenal pasti kawasan kampung terlibat.
"Sebelum ini, tumpuan perkhidmatan SWM Environment hanya di kawasan bandar dan ia akan diperluaskan ke kawasan kampung untuk pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif sekali gus mengurangkan pencemaran kerana kebanyakan penduduk melupuskan sisa dengan cara sendiri seperti membakar," katanya.
Beliau berkata setakat ini, Kampung Pulau di Melaka menjadi projek rintis bagi perluasan perkhidmatan kutipan sisa pepejal oleh syarikat itu.