SWM Environment, Melaka FM sasar kumpul 10 tan botol plastik sempena

...

MELAKA, 25 August 2025

SWM Environment bekerjaama dengan Jabatan Penyiaran Melaka menerusi Melaka FM bagi menjayakan misi mengumpul 10,000 kilogram (kg) atau 10 tan botol plastik sepanjang Bulan Kebangsaan 2025.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata kerjasama julung kali itu bagi menjayakan misi mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records (MBR).

“Usaha ini bagi mencapai sasaran 10,000kg botol plastik di seluruh negara sepanjang Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 dan Sambutan hari Kebangsaan ke-68. 

“Pihak kami menyambut baik inisiatif dan sasaran program ini, yang juga selaras dengan misi SWM Environment untuk menggalakkan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Norlisam berkata SWM Environment juga amat berbesar hati bekerjasama dengan stesen radio Melaka FM yang dikenali
sebagai Radio Nombor Satu Orang Melaka menerusi program pengumpulan dan penyediaan data di bawah program KITARecycle.

Beliau berkata kerjasama dua hala itu amat bermakna kerana bukan sahaja untuk mencatat rekod, malah menjadi simbol
perpaduan, tanggungjawab bersama serta semangat cintakan negara dalam usaha melestarikan alam sekitar.

“Bagi mencapai misi ini, SWM Environment dan Melaka FM turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka serta Petron Malaysia dalam usaha mengumpul botol plastik di 22 sekolah dan 29 stesen minyak di seluruh Melaka.

“Orang ramai, khususnya warga Melaka turut dialu-alukan untuk menjayakan misi ini dengan menghantar botol plastik terpakai ke lokasi-lokasi pengumpulan yang ditetapkan di sekitar negeri sehingga 30 Ogos ini,” katanya.

Mohd Norlisam berkata antara lokasi itu termasuk di pondok pengawal Jabatan Penyiaran Melaka, Jalan Taming Sari, stesen
minyak Petron di seluruh Melaka selain di kemudahan-kemudahan KITARecycle SWM Environment seperti di Taman Botanikal Melaka Ayer Keroh, ‘Drop-Off’ Point TS Park, Taman Desa Bertam atau di 53 lokasi sangkar KITARecycle di negeri ini.

Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan pengasingan sisa di punca serta
memberi pendedahan awal mengenai kepentingan mengasingkan barangan kitar semula bagi mengurangkan jumlah botol plastik dihantar ke tapak pelupusan.

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2460339