KITARecycle Misi cipta rekod MBOR kumpul 10 tan botol plastik sepanjang Bulan Kemerdekaan

...

SEREMBAN, 26 August 2025

SWM Environment bersama rakan kolaborasi menggerakkan misi mengumpul 10 tan botol plastik sepanjang Bulan Kemerdekaan 2025 dalam usaha mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program ini digerakkan menerusi Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 dan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di seluruh negara.

Katanya, inisiatif ini selari dengan komitmen SWM Environment untuk menggalakkan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.

“SWM Environment amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan kolaborasi dalam menjayakan program pengumpulan dan penyediaan data di bawah program KITARecycle, iaitu sebuah program kitar semula berganjaran oleh SWM Environment.

“Kerjasama dua hala ini bukan sahaja bertujuan untuk mencipta rekod, malah menjadi simbol perpaduan, tanggungjawab bersama dan semangat cintakan negara melalui usaha pemeliharaan alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Orang ramai, khususnya warga Negeri Sembilan, dialu-alukan untuk turut serta menjayakan misi ini dengan menghantar botol plastik terpakai ke salah satu daripada 98 fasiliti KITARecycle di negeri ini.

Katanya, kutipan akan berjalan sehingga 30 Ogos ini, termasuk di pusat pandu lalu dan lokasi terpilih yang disediakan bagi memudahkan sumbangan kitar semula daripada masyarakat.

“Sebanyak tujuh Pusat Pandu Lalu KITARecycle disediakan bagi kemudahan pengguna, iaitu di Wisma MBS, OSK Iringan Bayu, Bandar Ainsdale, Nilai Impian, Tampin, d'Tempat dan Port Dickson.

“Menerusi inisiatif ini, diharap dapat menggalakkan serta memberi pendedahan awal kepada masyarakat untuk mengamalkan aktiviti pengasingan sisa di punca.

“Dengan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula seperti botol plastik terpakai, ia menjadi satu usaha kelestarian bagi mengelakkan bahan-bahan ini dihantar dan dilupuskan ke tapak pelupusan,” katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/745210/edisi/melaka-ns/kitarecycle-misi-cipta-rekod-mbor-kumpul-10-tan-botol-plastik-sepanjang-bulan-kemerdekaan