Kempen mengumpul 10 tan botol plastik di Negeri Sembilan.
SEREMBAN, 27 August 2025
Sebanyak 10,000 kilogram (10 tan) botol plastik akan dikumpulkan di Negeri Sembilan melalui satu kempen baharu yang dilaksanakan dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. dan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (RTM Negeri Sembilan).
Matlamat utama program ini adalah untuk menyemarakkan budaya kitar semula di kalangan masyarakat dan pada masa yang sama mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun 2025.
Program ini akan dijalankan melalui kempen radio Negeri FM di bawah segmen "Ingat Sampai Bila-Bila", yang menggalakkan pendengar untuk bersama-sama menyumbangkan botol plastik melalui kemudahan kitar semula SWM Environment iaitu kempen KITARecycle.
Orang ramai boleh menghantar botol plastik mereka di 98 kemudahan pengumpulan KITARecycle yang terdiri daripada pusat kitar semula pandu lalu (drive-thru), rumah ibadat, kawasan perumahan dan juga pusat komuniti di seluruh Negeri Sembilan.
Selain itu, pengguna yang menghantar bahan kitar semula melalui aplikasi KITARecycle akan menerima ganjaran dalam bentuk mata ganjaran digital yang boleh ditebus.
Kempen ini juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memupuk gaya hidup mampan, mengurangkan pencemaran plastik, dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula.