Pusat Kitar Semula Sumber di Kampung Baru Pajam dan Kampung Baru Nilai Dilancarkan Program Ganjaran KITARecycle Dorong Komuniti Ke Arah Kelestarian
SEREMBAN, 18 August 2025
Pusat Kitar Semula Sumber (DTRC) Sejati Madani di Kampung Baru Pajam dan Kampung Baru Nilai telah rasmi beroperasi hari ini, disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Nilai, YB Arul Kumar.
DTRC ini diuruskan sepenuhnya oleh SWM Environment Sdn. Bhd., dengan kerjasama SWCorp Negeri Sembilan dan Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan, bagi menggalakkan masyarakat setempat mengamalkan budaya kitar semula secara lebih sistematik.
Melalui aplikasi KITARecycle, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut dan mendaftar akaun untuk mendapatkan kod QR. Barangan kitar semula yang telah diasingkan seperti botol plastik, tin aluminium, kotak kertas, surat khabar lama serta peralatan elektrik terpakai boleh dihantar ke pusat ini yang beroperasi 24 jam sehari.
Setiap penghantaran akan direkodkan dan diberikan mata ganjaran yang kemudiannya dimasukkan ke akaun aplikasi pengguna dalam tempoh lima hari bekerja. Mata ganjaran ini boleh ditebus sebagai wang tunai melalui perbankan dalam talian, dengan kadar 1 mata bersamaan RM0.05. Penebusan minimum ialah 400 mata (RM20), dan sah digunakan selama dua tahun.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Dato’ Ir Ts Masri bin Baharuddin (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban), Mohd Norlisam bin Mohd Nordin (Pengurus Besar SWM Environment), Nurul Liza Binti Mohd Najib (Pengurus Komunikasi Korporat SWM Environment), wakil SWCorp Negeri Sembilan, ahli majlis, serta ketua kampung.
Dalam ucapannya, YB Arul Kumar memaklumkan sehingga kini sebanyak 32 DTRC telah beroperasi di bawah Program Sejati Madani di Negeri Sembilan, dan dijangka 37 pusat akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.
Beliau turut berkongsi pencapaian kutipan kitar semula Negeri Sembilan iaitu 720 tan metrik pada 2024, manakala sehingga Julai 2025 sudah mencecah 600 tan metrik. Negeri dijangka mencapai 1,000 tan metrik menjelang akhir 2025.
“Dengan adanya lebih banyak pusat kitar semula beroperasi, jumlah kutipan akan terus meningkat. Ini bukan sahaja mengurangkan beban tapak pelupusan sampah, malah turut memperkukuh asas ekonomi kitaran di Negeri Sembilan,” katanya.
SWM Environment juga akan menganjurkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar pada 30 Ogos ini di kedua-dua kampung sebagai usaha berterusan memperkukuh budaya kitar semula.