SASAR 30 TAN BOTOL KACA TERPAKAI

...

JOHOR BAHRU, 18 July 2025

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) telah melancarkan program Cabaran Kaca Pun Boleh yang melibatkan sebanyak 60 buah sekolah rendah di seluruh negeri Johor termasuk lima buah sekolah tamil antaranya SJK (T) Taman Tun Aminah, SJK (T) Jalan Yahya Awal, SJK (T) Ladang Mount Austin, SJK (T) Ladang Tiram dan SJK (T) Jalan Ibrahim di Pontian. 

Program yang berlangsung dari Julai hingga November tersebut menyasarkan pengumpulan sebanyak 30,000 kilogram botol kaca bertujuan untuk membentuk kesedaran dalam kalangan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat tentang kelestarian alam sekitar. Program yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 tersebut turut memberi fokus kepada pengurusan sisa mampan melalui amalan kitar semula botol kaca. 

Bagi meningkatkan penglibatan aktif sekolah, edisi kedua program tersebut memperkenalkan kategori baharu antaranya seperti Inovasi STEM Botol Kaca, Video Kreatif Kitar Semula Botol Kaca dan Sudut Kitar Semula Botol Kaca di samping Pertandingan KITARecycle Botol Kaca. 

Program anjuran SWM Environment dan Yayasan JCorp tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Selain itu, rakan-rakan industri seperti Wentel Engineering Sdn. Bhd., Topflight Plastic Sdn. Bhd. dan JStar Motion Sdn. Bhd. pula tampil sebagai rakan penaja. 

Dalam pada itu, Yayasan JCorp selaku rakan pengelola program turut menampilkan inisiatif Pentas Seni Johor melalui Pentas Sketsa Alam Sekitar yang merupakan kategori baharu menggabungkan STEM dan seni kreatif sebagai usaha mempelbagaikan bentuk pendidikan kelestarian alam sekitar. 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad pula berkata, Cabaan Kaca Pun Boleh sejajar dengan usaha pembangunan masyarakat rendah karbon di Johor Bahru yang mengukuh jalinan kerjasama sekolah, komuniti dan industri bagi mencapai setiap sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).