60 SEKOLAH DI JOHOR SERTAI CABARAN KACA PUN BOLEH - SASAR 30,000KG BOTOL KACA TERPAKAI

...

JOHOR BAHRU, 20 July 2025

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) menganjurkan Cabaran Kaca Pun Boleh. 

Sebanyak 60 buah sekolah rendah di negeri Johor telah dipilih menyertai program tersebut yang bermula dari Julai hingga November nanti. Program berteraskan pendidikan kesedaran tentang pengurusan sisa mampan dan kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula botol kaca menyasarkan pengumpulan sebanyak 30,000 kilogram botol kaca terpakai.
 
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, Cabaran Kaca Pun Boleh adalah lanjutan edisi pertama yang dianjurkan pada tahun 2022 lalu dan kembali pada tahun ini dengan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM30,000 ditawarkan bagi meningkatkan penglibatan murid, guru, ibu dan masyarakat setempat. 

Tambah beliau, Cabaran Kaca Pun Boleh turut memperkenalkan beberapa kategori baharu yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dan asas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan penerapan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) menerusi seni dan inisiatif masyarakat rendah karbon.