GELANDANGAN DIBANTU DIBERI KERJA TETAP

...

, 25 May 2020 SERAMAI 19 daripada 21 gelandangan yang sebelum ini ditempatkan di Pusat Perpindahan Gelandangan Sementara (PPGS) di Seremban, Negeri Sembilan, berpeluang mendapat pekerjaan selepas mereka disaring dari segi kesihatan dan keupayaan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan sudah mengendalikan sesi temuduga terhadap gelandangan terbabit, baru-baru ini. Katanya, tiga daripada mereka sudah diterima bekerja dengan syarikat konsesi sisa pepejal iaitu SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Negeri Sembilan dan akan memulakan tugas pada 1 Jun ini. “Seramai 16 orang lagi penghuni PPGS yang disaring untuk pekerjaan oleh pasukan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD). Tujuh daripadanya tidak sesuai bekerja atas faktor usia, namun akan ditentukan oleh pihak Perkeso. “Tujuh orang daripada mereka akan menjalani sesi temuduga kali kedua dengan Mydin Seremban yang dijangkakan akan diadakan minggu hadapan. “Manakala terdapat dua lagi gelandangan terbabit dirujuk ke PKMD Seremban kerana masalah mental,” katanya tadi. Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, berkata, Perkeso mempunyai peraturan operasi standard (SOP) tersendiri dimana sebelum sesi temu duga kerja dilakukan, kesemua mereka disaring kesihatan bagi mengenal pasti mereka yang sesuai mengisi kekosongan jawatan. Beliau berkata, usaha itu dilakukan sebahagian langkah untuk memandirikan gelandangan selepas proses menyelamatkan mereka sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Menurutnya, pihaknya berusaha membantu gelandangan untuk memastikan mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan dengan bantuan dan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Katanya, bagaimanapun hanya mereka yang benar-benar layak sahaja boleh ditempatkan di mana-mana syarikat yang memerlukan kakitangan. “Perkeso juga akan merujuk dengan majikan lain yang berminat untuk membantu gelandangan ini mendapatkan pekerjaan sesuai, agar mereka tidak terus menjadi gelandangan sebaliknya mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

http://