Tugas pembersihan diiktiraf sebagai kerjaya berkemahiran tinggi

...

SEREMBAN, 24 May 2024

SEREMBAN - Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) membuktikan dedikasi, kepakaran, komitmen petugas pembersihan awam, sekali gus meningkatkan kualiti kerja dalam kalangan tenaga kerja SWM Environment Sdn Bhd 
(SWM Environment).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 71 petugas daripada peringkat Eksekutif Operasi, Penyelia dan Pekerja Rendah Am (PRA) menerima sijil kemahiran tinggi itu pada 21 April lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, kesemua petugas pembersihan itu selesai menjalani latihan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran SWCorp Malaysia.

"Ia mencerminkan komitmen syarikat dalam memupuk pembangunan kemahiran dan pertumbuhan kerjaya profesional di kalangan tenaga kerjanya. Kakitangan kami adalah tulang belakang SWM Environment dan kemahiran mereka menyumbang dengan ketara kepada kejayaan syarikat.

"Selain itu, setiap peserta perlu menjalani peperiksaan dan dinilai oleh pegawai pengesah luaran dilantik Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Eksekutif Operasi Cawangan SWM Environment Nilai, Mohamad Faisal Zakaria, 41, yang dinobatkan sebagai graduan terbaik berkata, program tersebut memberikan pengetahuan baharu kepadanya terutamanya dalam kaedah pengurusan kerja, aset dan tenaga kerja di lapangan.

"Sijil kemahiran melibatkan latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja. Selain itu ia juga meningkatkan mutu kerja petugas.

"Pihak syarikat turut memberikan pendedahan penggunaan teknologi terkini bagi mengoptimumkan tugasan kutipan sisa pepejal, pembersihan awam di lapangan,” katanya yang berkhidmat sejak 10 tahun lalu.

https://www.sinarharian.com.my/article/666504/edisi/melaka-ns/tugas-pembersihan-diiktiraf-sebagai-kerjaya-berkemahiran-tinggi