TINDAKAN TEGAS SELESAIKAN ISU PENCEMARAN SUNGAI DI KLEBANG

...

Klebang, 10 June 2023

KLEBANG 10 Jun – Isu pencemaran sungai yang didakwa berpunca daripada kegiatan pertanian kekal terus berlaku di Klebang dan perkara itu perlu diselesaikan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong menegaskan, semua pihak berwajib perlu menyelesaikan masalah berlarutan yang berlaku sejak hampir enam bulan lalu.

Katanya, pelbagai aduan telah diterima pihaknya dan dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagaimanapun usaha membasmi permasalahan itu hanya separuh jalan.

“Kita banyak menerima aduan sejak awal tahun lalu, namun tiap kali aduan diterima masalah itu nampak sudah selesai namun dalam tempoh jangka masa tertentu masalah ini datang semula membuatkan isu ini tidak dapat diselesaikan.

“Kita dapati antara sungai yang terlibat adalah di Sungai Lereh dan beberapa cabang anak sungai lain tercemar sehinggakan ada beberapa batang anak sungai yang hitam tercemar berpunca dari kegiatan pekebun, pertanian dan sawah di kawasan ini.

“Apabila sudah banyak kali berlaku kita harap kali ini tindakan tegas perlu diambil dan kalau boleh pihak berwajib perlu hadapkan mereka ini ke mahkamah kerana pencemaran yang berlaku menjadi permasalahan utama kepada nelayan-nelayan di Klebang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Program 360 Waste Solution diadakan di Taman Bukit Rambai, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, pencemaran yang berlaku mengakibatkan mata pencarian nelayan terjejas sejak awal tahun lalu.

Katanya, masalah itu mengakibatkan rata-rata nelayan berpangkalan di Jeti Lereh dan Klebang Besar menerima impak buruk dan menjejaskan pendapatan golongan itu.

“Saya akan bawa isu ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang kerana kita mahu semua pihak terutama Kerajaan Negeri, Kementerian terlibat dan pihak berkuasa negeri memandang serius kepada perkara ini kerana ia merupakan masalah berulang dan merosakkan sumber air di Klebang,” tegasnya.