Kumpul sampah biaya pembedahan katarak.
NILAI, 31 March 2026
Kumpul sampah biaya pembedahan katarak
Usaha mengumpul dan menjual barang kitar semula sejak lima tahun lalu memberi makna besar buat seorang warga emas apabila simpanan itu membolehkannya menjalani pembedahan katarak.
Menurut Jaafar Idrus, 74, penglihatannya mula kabur sejak tahun lalu dan perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap tiga bulan di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Awal tahun ini, doktor beritahu saya perlu menjalani pembedahan katarak dan menggantikan kanta mata baharu kerana keadaan semakin teruk.
“Memandangkan saya pesara kerajaan, kos pembedahan percuma tetapi perlu membayar kos kanta berjumlah RM1,300," katanya ketika ditemui di Taman Mulia Lagenda Suria di sini.
Ujarnya, dia selamat menjalani pembedahan pada 9 Mac lalu dan membayar kos kanta menggunakan wang diperoleh menerusi program ganjaran KITARecycle SWM Environment.
Jelasnya, menerusi program itu, dia mengumpul sisa pepejal seperti plastik dan kertas dan ditukar kepada mata ganjaran yang boleh ditebus menjadi wang tunai.
"Untuk menyertai program ini, kita hanya perlu mendaftar di aplikasi KITARecycle dan melabel barangan kitar semula dengan kod QR diberi bagi menikmati mata ganjaran.
"Dengan duit ganjaran ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu," katanya.
Jaafar yang mempunyai dua anak dan empat cucu mengakui mula mengumpul barangan kitar semula sejak September 2021 di perumahan terbabit.
Tambahnya, sejak itu dia tertarik menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian dan sepakat bersama penduduk menjadikan sebuah rumah kosong sebagai pusat sehenti aktiviti berkenaan.
“Kami meminta izin terlebih dahulu daripada pemilik rumah dan seingat saya, sudah tiga kali kami berpindah tempat kerana ada yang kurang senang dengan apa yang kami lakukan.
"Setiap Rabu, pihak SWM Environment akan datang mengutip barangan kitar semula yang dikumpulkan penduduk," katanya.
Jelasnya, kebiasaannya semua barangan berkenaan dikumpulkannya sendiri, malah ada juga dalam kalangan jiran mengetahui hobinya menghantar sendiri barangan tersebut ke rumahnya.
Ujar Jaafar, semua barangan tersebut kemudiannya akan diasingkan mengikut kategori.
"Hasil daripada aktiviti ini, secara purata saya mampu memperoleh kira-kira RM200 sebulan dan nilai penebusan ganjaran kitar semula sudah mencecah kira-kira RM8,000.
"Bila saya cerita kepada orang nilai saya kumpul, ramai tidak percaya. Namun, dengan duit inilah dapat membantu menampung kehidupan saya selepas persaraan," katanya.
Ujarnya, dia mula berminat menjadikan aktiviti tersebut sebagai hobi kerana ia mudah dilakukan, malah tidak menggunakan sebarang kos selain berpeluang memelihara alam sekitar.