9,000 PELAJAR TERLIBAT DALAM PERTANDINGAN MEMBUAT ECOBRICK YANG DIANJURKAN OLEH UTHM DAN SWM ENVIRONMENT

...

Johor, 24 May 2023

Muar, 24 Mei – Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) 2023 telah memperkenalkan penghasilan ecobrick kepada sekolah-sekolah yang menyertainya. Ecobrick merupakan sebuah botol plastik yang diisi dengan sisa pepejal yang tidak boleh terurai, ia juga boleh diisi dengan tanah dan sisa pepejal yang lain. 

Anggaran 9000 pelajar dari 30 buah sekolah di Muar dan Tangkak telah terlibat dalam pertandingan Ecobrick ini dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan pembuangan sisa plastik ke tapak pelupusan.

Melalui pertandingan ini, sebanyak 1,500 unit botol ecobrick berjaya dikumpulkan dari sekolah-sekolah yang terlibat.

Menurut Ts. Dr. Roslinda Binti Ali, Pengarah JESAWIL 2023 “Institusi pendidikan merupakan medium utama dalam mencorakkan pembelajaran dan pengajaran tentang pengurusan sisa pepejal yang efektif memandangkan golongan ini merupakan pelapis dan bakal menguruskan negara di masa hadapan.  Para pelajar dididik dan didedahkan dari peringkat awal dan menjadikan amalan pengasingan sisa ini sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka”. 

Tambah beliau “apabila mereka telah terbiasa dengan budaya baharu ini, sudah pasti mereka akan berjaya mempengaruhi keluarga dan sanak-saudara untuk bersama mengamalkan amalan ini dan mengambil kira aspek ini dalam mengurus tadbir negara di masa hadapan dan menjadikannya sebagai amalan gaya hidup baharu dalam masyarakat”.