SWM TUMPU 89 HOTSPOT ELAK LONGGOKAN SAMPAH PADA AIDILFITRI

...

Melaka, 16 April 2023

MELAKA – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan memberikan tumpuan khas operasi di 89 lokasi hotspot tong sampah berpusat di Melaka dalam usaha mengelakkan longgokan sampah yang tidak terkawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, tumpuan operasi khas akan diberikan kepada kawasan hotspot yang mempunyai bilangan penduduk meraikan sambutan Aidilfitri yang tinggi serta kawasan tumpuan pelancong iaitu 53 lokasi di Melaka Tengah,15 lokasi di Alor Gajah dan 21 lokasi di Jasin.

Operasi khas ini akan dijalankan bermula 17 April 2023 sehingga 24 April 2023 yang melibatkan 651 tenaga kerja dan 113 jentera pelbagai kegunaan. Selain kutipan tong sampah berpusat, SWM Environment turut memberi tumpuan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal; operasi berjadual pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam, katanya.

“Janaan sisa pepejal dijangka akan meningkat sepanjang musim perayaan ini. Oleh itu, pemantauan dan kutipan akan ditumpukan di setiap tong berpusat yang dikenal pasti mengikut cawangan operasi.” tambah beliau.

Kerjasama dan sokongan semua pihak amat diharapkan agar operasi yang dirancang ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

Orang ramai disarankan agar mengamalkan kaedah pelupusan sisa pepejal dengan betul dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan +1 seminggu sekali bagi pelupusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula bagi mengelakkan longgokan sampah terutama di kawasan perumahan.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, orang ramai juga digalakkan untuk menyertai kempen KITARecycle untuk peluang memenangi hampir 28,000 Recycle Point (RP) yang ditawarkan menerusi Jom KITARecycle, Jom Raya! dari 1 April sehingga 31 Mei 2023.