NGO DIALU-ALUKAN BANTUK MANGSA BANJIR DI JOHOR

...

Johor Bahru, 07 March 2023

Kerajaan negeri mengalu-alukan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi membantu ribuan penduduk di negeri ini dalam berdepan fasa pasca banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, bantuan yang diharapkan lebih kepada sumbangan tenaga kerja bagi proses pembersihan rumah mangsa banjir, serta barangan keperluan seperti dapur, barangan elektrik atau tilam.

"Di peringkat pusat pemindahan sementara (PPS) lebih kepada bantuan seperti makanan, lampin pakai buang dan sebagainya, tetapi kita perlu lihat apabila mereka (mangsa banjir) pulang ke rumah nanti.

"Bila mangsa banjir ini pulang ke rumah, itu yang kita perlukan bantuan NGO dalam kerja pembersihan dan bantuan kelengkapan rumah yang penting.

"Macam pihak berkuasa tempatan (PBT) atau SWM Environment (SWM) mereka bantu angkat sampah, tetapi jika NGO boleh bantu dari segi kelengkapan dapur, barang-barang elektrik atau tilam, itu memang sangat membantu dan kerajaan alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Galeri Hartanah Premier Plus di JB Sentral di sini, hari ini.

Mohd Jafni berkata, setakat ini, Southern Volunteer (SV) sudah digerakkan untuk membantu mangsa banjir dari segi kerja pembersihan, manakala PBT yang tidak terjejas banjir sudah mula dihantar bagi menghulur bantuan kepada mangsa banjir di kawasan PBT terjejas.

Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri kini sedang memperhalusi untuk mempertimbangkan pengecualian atau potongan bayaran sewa kepada pengusaha perniagaan di premis di bawah milik PBT negeri ini yang terjejas dengan banjir.

"Premis perniagaan memang ada yang terjejas dan kita sedang perhalusi bagaimana untuk membantu, mungkin diberikan pengecualian sewa untuk beberapa bulan.

"Mangsa banjir perlu simpan laporan polis dan bukti mereka terbabit menjadi mangsa banjir dan diharap ia dapat membantu peniaga memulakan semula perniagaan yang terjejas," katanya.