SWM Environment: Jaga Kebersihan Alam Sekitar, Amalkan Pengasingan Sisa

...

MELAKA, 01 September 2021 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengubah sifat kelakuan kepada yang lebih positif melalui pengurusan sisa pepejal secara berhemah, melaksanakan Separation at Source (SAS), Reduce, Reuse & Recycle (3R) dan amalan kitar semula. Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dalam satu kenyataan berkata, mengambil semangat Bulan Kebangsaan, masyarakat perlu mengambil tanggungjawab dalam memastikan kebersihan alam sekitar dan negara. “Sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan terutamanya sewaktu negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” katanya. Tambah beliau lagi, cabaran utama sejak 64 tahun kemerdekaan ini adalah untuk membentuk pemikiran rakyat yang merdeka dari sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan serta manfaat dari amalan kitar semula. “Peningkatan jumlah janaan sisa pepejal setiap tahun amat membimbangkan. Kesannya adalah kepada ekosistem negara dan kos perbelanjaan yang tinggi bagi melupuskan sisa pepejal dan SWM Environment sentiasa berusaha memberi pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan amalan pengasingan sisa di punca (SAS) dan 3R supaya ianya dapat menyumbang kepada pengurangan janaan sisa pepejal yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan,” katanya.