KITAR SEMULA SISA MAKANAN MELINDUNGI ALAM SEKITAR. KEMPEN PENGKOMPOSAN 4 BAZAR RAMADAN BATU PAHAT
BATU PAHAT, 12 April 2021 Bersempena dengan kempen kesedaran Earth Month 2021, SWM Environment Sdn. Bhd. bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menganjurkan Kempen Pengkomposan Bersama Peniaga Bazar Ramadan, agar dapat mengurangkan sampah yang dihasilkan sempena bulan Ramadan. Program ini merupakan kerjasama pertama oleh kedua dua pihak penganjur tersebut dan program ini mensasarkan Bazar Ramadan Batu Pahat termasuk Taman Pura Kencana, Taman Universiti dan Bazar Ramadan Bindu dan Parit Raja. Pihak penganjur berharap agar dapat membawa impak positif dalam kalangan masyarakat melalui kempen tersebut supaya masyarakat juga dapat melaksanakan tanggungjawab kitar semula demi menjamin kehidupan persekitaran yang harmoni terutamanya terhadap generasi baru. Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. Mohd Norlisam yang menghadiri majlis perasmian kempen pengkomposan tersebut berkata, sisa makanan yang dihasilkan sempena bulan Ramadan meningkat lebih 20%-30% berbanding dengan hari biasa, menyebabkan purata sisa makanan yang dihasilkan mencecah 3500 tan sehari. Mata Ganjaran Untuk Kitar Semula Beliau berkata, melalui program tersebut, sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan dapat dikurangkan dengan kaedah kitar semula manakala sepanjang masa kempen ini dijalankan, masyarakat diseru supaya giat melibatkan diri dalam program KITARecycle yang bukan sahaja dapat mempromosikan perlindungan alam sekitar malah mendapat ganjaran melalui kitar semula.