2,634 tapak pelupusan sampah haram ditutup tahun ini
NILAI, 07 December 2024
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan pembasmian besar-besaran tapak sampah haram di tujuh negeri, dengan penutupan 2,634 tapak lokasi sampah haram sepanjang tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata anggaran sisa dibersihkan 1,500 tan dengan melibatkan kos berjumlah RM412,000.
"KPKT memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi SWCorp, pelaksanaan operasi berterusan di tapak pelupusan sampah haram merupakan antara inisiatif utama kementerian pada tahun ini.
"Ia bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI, memfokuskan kepada kesejahteraan dan ihsan dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Nga berkata sebanyak 28 kes pendakwaan mahkamah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM490,000 direkodkan setakat ini.
Nga berkata dalam usaha membanteras dan menangkap pelaku sampah haram, penguat kuasa SWCorp telah melakukan 4,134 intipan sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Nga berkata pihaknya serta beberapa agensi lain mengadakan operasi pembasmian dan penutupan tapak sampah haram di Labu, Nilai hari ini dengan pembersihan sisa pukal dan sisa binaan sebanyak 180 tan yang melibatkan 50 anggota SWCorp, SWM Environment Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Dalam pada itu beliau berkata pelbagai usaha akan giat dijalankan oleh kementerian sebagai langkah kehadapan untuk membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram ini secara komprehensif.
"Strategi utama dirangka ialah pelaksanaan cerapan lokasi pembuangan sampah haram, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap hot spot sampah haram, pemantauan anggota penguat kuasa SWCorp, operasi serbuan dan intipan dan mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.