GKC2024 Kumpul 107,239 Kilogram Barangan Kitar Semula
SEREMBAN, 26 November 2024
GREAT KITARecycle Challenge 2024 (GKC2024) anjuran Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan SWM Environment berjaya mengumpulkan sejumlah 107,239 kilogram barangan kitar semula bagi tempoh Julai-November lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata program itu mencatatkan jumlah kutipan barangan kitar semula tertinggi melibatkan lebih 60 sekolah menengah dan rendah di Negeri Sembilan dan Melaka.
"Melangkaui operasi perniagaan takaful keluarga, kami amat prihatin akan isu alam sekitar yang kian membimbangkan. Jalinan kerjasama korporat sebegini adalah antara usaha kami untuk memainkan peranan dalam membantu meningkatkan kesedaran para pelajar dan guru terhadap pengurusan sisa terpakai.
"Selain itu, kami turut menyumbangkan kemudahan kitar semula kepada sekolah yang berjaya mengumpul barangan kitar semula melebihi 5,000 kilogram sepanjang program GKC2024 berlangsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata program itu turut mempertandingkan kategori pengumpulan barangan kitar semula, pembuatan arca 3R, penulisan esei, penghasilan video pendek, dan bercerita, berteraskan konsep kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar.
Pertandingan itu katanya, bukan sahaja mencungkil kreativiti pelajar, tetapi juga menyemai nilai kelestarian alam melalui karyakarya inovatif mereka serta meningkatkan kesedaran kepentingan kitar semula dalam kalangan generasi muda.
Shahrul berkata pihaknya turut memperkenalkan inisiatif hasil semula (upcycling) sebagai langkah penjagaan alam sekitar yang proaktif menerusi siri taklimat serta demonstrasi mesin hasil semula 2-dalam-1. Setakat ini, kami telah memberi kesedaran kepada lebih 12,000 individu mengenai amalan upcycling.
"Ia menghasilkan barangan dengan fungsi baharu diperbuat daripada bahan plastik terpakai kepada pelajar dan guru. Melalui inisiatif ini, pelajar dapat mengenal pasti aktiviti hasil semula yang boleh diamalkan di rumah dan di sekolah mereka serta memupuk cara hidup yang lebih mesra alam.