GANJARAN KITAR SEMULA, PELIHARA ALAM SEKITAR

...

JOHOR BAHRU, 28 August 2024

Tidak kira individu atau sekolah, mereka telah menerapkan amalan kitar semula dalam rutin kehidupan harian. Mereka bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah turut menerima ganjaran sebagai galakan dan motivasi untuk terus menjadi wira alam sekitar.

Zainal Mohd Yusof, 54 tahun, pesara guru dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru telah mulakan amalan kitar semula sejak lebih 10 tahun lalu. Semasa mengajar di sekolah dahulu, beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan amalan kitar semula yang memupuk amalan tersebut dalam kalangan murid. Beliau melaksanakan pengasingan barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, botol kaca, kotak dan tin aluminium di rumah dan dihantar ke Hab Kitar Semula @ B5, Tampoi, Johor Bahru. 

Mata Ganjaran Boleh Ditebus Kepada Duit
Sejak sertai program kitar semula berganjaran, KITARecycle, beliau merasakan aktiviti kitar semula bertambah menarik kerana program tersebut menawarkan ganjaran bagi barangan kitar semula yang dikumpulkan.

“Kaedahnya sangat mudah. Saya hanya perlu asingkan barangan dan labelkan dengan nombor akaun KITARecycle. Setiap timbangan barang akan direkodkan ke dalam sistem oleh pihak SWM Environment semasa kutipan dilaksanakan dan saya boleh semak mata ganjaran pada bila-bila masa.”

Beliau yang baru memenangi tempat pertama berbentuk 5,000 mata ganjaran KITARecycle pertandingan kitar semula pada bulan Jun lalu berkata, selepas bersara pada Januari tahun ini, beliau telah kitar semula buku-buku lama dan sangat mengejutkan kerana memenangi pertandingan tersebut. 

NURFARAHAIN: TERAP KITAR SEMULA SEJAK KECIL
Nurufarahain Mat Saad, 35 tahun, penjawat awam menekankan kepentingan amalan kitar semula dan pengurangan sisa. 
Perjalanan kelestarian beliau dan keluarga beliau bermula sejak dua tahun lalu apabila membawa anak-anak berkunjung ke Sudut Lestari, Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru.

Daripada situ, beliau mula terapkan minat dalam kalangan mereka dengan mewujudkan sudut kitar semula di rumah mereka di Kulai yang menempatkan tong kitar semula.

Menurut beliau, anak-anaknya sangat teruja menggunakan aplikasi KITARecycle apabila melihat mata ganjaran terkumpul bertambah selepas melaksanakan aktiviti kitar semula.