Pengunjung Ke Bazar Ramadan Disaran Bawa Bekas Makanan Sendiri
Seremban, 26 April 2021
Orang ramai digalak agar membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh digunakan semula setiap kali mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli makanan dan juadah berbuka puasa. Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata budaya membawa bekas sendiri dan beg kitar semula ke bazar Ramadan adalah antara elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dengan matlamat pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik. "Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan pada bulan Ramadan dikhuatiri membawa kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan. "Sudah tiba masanya, kita mewujudkan budaya baharu iaitu 'tapau' juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, 'Tupperware' serta beg kitar semula," katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan hanya membeli juadah berbuka mengikut keperluan. Selain itu, masyarakat dinasihatkan tidak terus membuang makanan lebihan sebaliknya diberikan kepada pihak yang memerlukan.-BERNAMA