45 tan sampah banjir dikutip

...

JOHOR BHARU, 09 January 2021 Sebanyak 45 tan sampah dikutip SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di seluruh negeri ini sejak kerja pembersihan akibat banjir dilaksanakan bermula 3 Januari lalu hingga semalam. Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, kerja-kerja pembersihan itu melibatkan seramai 110 kakitangan. Menurutnya, mereka turut dibantu dengan sejumlah 37 jentera dan aset milik syarikat berkenaan. “Kerja pembersihan ini dilaksanakan di beberapa daerah khususnya yang terjejas akibat banjir iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Segamat dan Mersing. Kerja pembersihan ini akan diteruskan sehingga selesai manakala kesemua sampah yang dikutip akan dihantar ke tapak pelupusan. “Selain itu, bagi membantu aspek kebersihan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir di negeri ini, sejumlah 30 unit tong sampah beroda dan pengaturan laluan lapan (8) buah kompaktor perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dilakukan, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. -K! ONLINE